28 Ogos, 2010

Syaitan masih berkeliaran di bulan Ramadhan?


Dari Abi Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda, maksudnya: ‘Apabila masuknya malam pertama dari bulan Ramadhan, syaitan dan jin yang ganas dibelenggu. Pintu neraka ditutup, Tidak dibuka satupun darinya. Pintu syurga dibuka. Tidak satupun darinya ditutup. Ada satu seruan: ‘Wahai orang yang mencari kebaikan! Berhadaplah ke mari. Wahai orang yang mencari kejahatan! Henti hentilah (perkara jahat kamu itu). Bagi Allah itu ada hamba-hamba yang dimerdekakan. Demikian itu pada setiap malam.’ Riwayat at-Tirmizi

Ringkasan:

Imam Nawawi menyebut jin syaitan ini dibelenggu kerana menghalang mereka dari menyakiti orang mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Belenggu itu boleh jadi hakiki (sebenar) atau majazi (simbolik).

Al-Qadhi Iyadh menyebut: Boleh jadi Allah membelenggukan syaitan itu dengan rantai dan belenggu dengan sebenarnya, bukan ia majazi atau secara simbolik sahaja. Tujuannya supaya mereka tidak menyakiti mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Boleh jadi juga ia adalah simbolik. Allah jadikan mereka itu lemah dari menipu-daya mukmin dalam bulan puasa ini hingga jadi kuranglah tipu-dayanya. Maka jadilah mereka itu seolah-olah dibelenggu. Belenggu juga dengan makna mereka tidak dapat menipu sebahagian mukmin dan sebahagiannya dapat ditipunya. Sebahagian perkara dapat ditipu dan sebahagiannya tidak. Ini semua bermaksud membesarkan bulan Ramadhan itu.

Berkenaan pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka, Imam Nawawi menyebut bahawa ia boleh jadi hakiki atau majazi juga. Ertinya apabila masuk bulan puasa itu, Allah buka jalan taat yang banyak kepada hambaNya, yang tidak ada di bulan selain Ramadhan seperti berpuasa, berjaga malam dan pelbagai kebajikan yang lain. Maka itulah yang menjadikan sebab masuk syurga dan seolah-olah itulah pintunya.

Berkenaan seruan itu pula, ia tidak didengari oleh manusia. Namun Allah tidak membiarkan begitu sahaja. Allah memberitahu Nabinya tentang seruan tersebut. Diwakilkan kepada Malaikat menyeru pada setiap malam puasa memanggil hamba-hambaNya untuk berbuat taat dan menjauhkan maksiat.

Allah memerdekakan hambaNya dari neraka dengan sebab ketaatan yang dibuat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab mengesakan Allah. Ada yang dimerdekakan dengan sebab solat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab puasa. Pemerdekaan dalam bulan puasa ialah dengan sebab pahala puasa dan berkatnya.

10 Ogos, 2010

Ramadhan; Ibadah vs Adat


Umat Islam seluruh negara telah melangkah masuk ke bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Rentetan daripada ketibaan Ramadhan, suasana baru yang tidak dapat dilihat pada bulan-bulan lain akan mengambil tempat.

Di antaranya menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar serta tidak kurang juga puasa sebagai adat atau pesta tahunan.

Oleh itu, umat Islam perlu benar-benar memahami falsafah puasa yang selaras dengan Al Quran dan sunah serta mengelakkan daripada menjadikan puasa hanya sebagai adat tahunan sahaja.

Di antara ciri-ciri tingkah laku yang perlu dihindarkan kerana telah menjatuhkan martabat puasa kepada tahap adat semasa ialah:

* Menyempitkan skop puasa hanya dengan menahan makan dan minum pada siang hari sahaja. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat Al-Bukhari)

* Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa.

* Berlebih menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran. Allah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)

* Berlebih makan ketika berbuka sehingga meletihkan badan dan menghalang daripada melakukan ibadah di malamnya. Sikap bersederhana Rasulullah s.a.w di dalam berbuka puasa perlu dicontohi sebagaimana maksud hadis: Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. (riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi)

* Malas menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat seperti melakukan solat tarawih, solat malam dan sebagainya.

* Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu menghindarkan penyebaran hadis inidaripada berleluasa seperti tahun-tahun terdahulu.

* Mengabaikan ibadah malam bermula dengan solat berjemaah maghrib, isyak dan tarawih kerana sibuk menonton televisyen atau kerana urusan-urusan lain.

* Malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa dengan alasan keletihan. Bayangkan bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000 orang.

* Malas membaca Al Quran atau hanya mengehadkan bacaanpada surah Yasin sahaja. Sedangkan baginda s.a.w senantiasa menyemak dan mengkhatamkan Al Quran sekali di dalam bulan Ramadan dengan Jibril a.s.

* Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibn Majah).

* Mengabai serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadhan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.

* Tidak bersedih dengan berakhirnya bulan Ramadhan. Juga tidak bimbang sekiranya tidak dapat bertemu Ramadhan yang akan datang.

* Memiliki kepercayaan-kepercayaan karut tentang kepulangan roh orang yang telah mati pada bulan Ramadhan. Sedangkan kepercayaan tersebut adalah bertentangan dengan konsep roh dan alam barzakh (al-Mukminun: 99-100)

* Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa berkat. (Rujuk- http://youtube.com/watch?v=RgT-_Uf62rk)

* Tidak menunaikan sembahyang fardhu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadhan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antar seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah.

* Memusnahkan pahala puasa sebulan dengan sambutan hari raya yang melampau sehingga melakukan maksiat.

Ini adalah di antara beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh umat Islam semasa menjalankan ibadat puasa yang telah merendahkan martabat bulan Ramadhan. Oleh itu, kita perlu menghindarkan perkara-perkara tersebut demi menjamin pahala yang berganda di bulan ini.

Ini berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas. (riwayat al-Bukhari)

01 Ogos, 2010

Hilangnya Sebutir Permata Menjelang Ramadhan


Taman Jali, 1 Ogos 2010 - Seorang bekas tenaga pengajar MADI; Ustazah Nurhasni Djamhir Syamsuddin telah kembali ke pangkuan Ilahi pada jam 9.00 pagi tetapi pihak hospital mengesahkan bahawa Almarhumah telah tiada sejak subuh lagi akibat penyakit penat yang dihidapinya sejak beberapa ketika dulu.

Beliau mengikut jejak langkah suaminya; Almarhum Ustaz Ghufran yang telah kembali ke rahmatillah 2 tahun lepas meninggalkan 5 orang anak yang bongsunya berusia 10 tahun. Almarhumah merupakan guru yang berdedikasi dan berwibawa dalam mencurahkan ilmu kepada masyarakat terutamanya bekas pelajar MADI sekitar tahun 1998-2005.

Beliau yang yang berasal dari Indonesia
memiliki ijazah Pengajian Islam dari Kuliyyah At Tarbiyyah Lil Banat Arab Saudi pernah menyumbangkan ilmu di merata tempat sehingga sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau berkhidmat di IPTIPs.

Almarhumah selamat dikebumikan jam 6.00 petang tadi dengan kehadiran ratusan rakan-taulan, anak murid dan jiran-tetangga memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah. Tidak ketinggalan guru, kakitangan dan sahabat Alumni MADI juga turut hadir dan mendoakan semoga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan soleh.

NOSTALGIA